loading...

Tanah diduduki enam beranak bukan milik sah - KESEDAR

 


 Pembinaan rumah baharu untuk menempatkan enam beranak yang dilaporkan berteduh di rumah usang di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) Paloh 1, Gua Musang, Kelantan tidak dapat dilakukan kerana tapak rumah berstatus bukan milik sah.

KESEDAR dalam kenyataan berkata, usaha Persatuan Cakna Kasih membantu keluarga itu tidak dapat dilakukan kerana tapak berkenaan masih berstatus tanah kerajaan.

Katanya, jika kebenaran diberikan, ia akan menggalakkan pencerobohan tanah kerajaan sekali gus menyulitkan perancangan kemajuan di RKT.

BH sebelum ini melaporkan enam beranak yang mempunyai pendapatan terhad tinggal di rumah usang dan rumah itu tidak mampu dibaiki serta menunggu masa menyembah bumi kerana lantai dan dinding semakin reput.

Dilaporkan, Mohamad Lir Abdul Rahman, 51, berkata dia dan isterinya yang juga generasi kedua KESEDAR itu berusaha membesarkan empat anak termasuk seorang anak perempuan orang kurang upaya (OKU) dengan menternak 15 ekor itik selepas tidak dapat bekerja akibat cedera ditimpa dahan pokok dokong tiga tahun lalu.


KESEDAR berkata, siasatan yang dilakukan mendapati Muhamad Lir ialah generasi kedua dan anak kedua daripada sembilan orang adik-beradik kepada seorang peneroka.

"Dia menduduki rumah kosong peneroka sejak 1990 tanpa meminta kebenaran daripada pihak pengurusan RKT. Rumah itu kini uzur dan di atas keprihatinan, pihak RKT juga menawarkan langkah baik pulih.

"Namun dia enggan menerima tawaran itu dan mahu sebuah rumah baharu yang dibina di atas tanah itu," katanya.

Menurut kenyataan itu, pengurusan RKT kemudiannya mencadangkan sebuah rumah bina baharu dibina di atas tanah lot bapanya, namun ditolak meskipun sudah mendapat persetujuan bapanya.

"Dia berkeras untuk membina di atas lot peneroka yang dia duduki secara tidak sah itu.

"Pada 2 Mac 2021 wakil Persatuan Cakna Kasih juga sudah datang ke ibu pejabat KESEDAR untuk mendapat penjelasan mengenai status tapak tanah itu dan apabila dijelaskan, pembinaan itu tidak dapat direalisasikan kerana tapak itu bukan milik yang sah," katanya.

Menurut KESEDAR pihaknya juga mencadangkan Mohamad Lir diberi keutamaan untuk mendapatkan rumah pada Program Pemajuan Kawasan (PPK) yang kini sedang dalam proses pelaksanaan.



SC:BH Online