loading...

Disindir bawa mangkuk tingkat ke sekolah, bapa murid maafkan netizen..

 


HANYA kerana mangkuk tingkat, seorang murid Tahun Satu kini menjadi buah mulut netizen susulan gambarnya tular di media sosial sejak minggu lalu.

Murid sebuah sekolah di Putrajaya itu, dibekalkan oleh ibunya bekalan makanan ke sekolah menggunakan mangkuk tingkat.

Pada hari pertama sesi persekolahan dibuka 1 Mac lalu, gaya ‘rare’ kanak-kanak terbabit yang makan menggunakan mangkuk tingkat dirakam bapanya Mohd Rizal Omar yang juga guru sekolah terbabit.

Menurut Mohd Rizal, dia kemudian berkongsi gelagat anak ketiganya daripada empat beradik itu di laman Facebooknya dengan kapsyen ‘Nampak dak betapa ‘old skool’ nya anak aku.. mangkok tingkat truhhh.. makanan dia setingkat ja..selebih nya bapak dia punya’.

“Namun gambar itu kemudian tersebar di media sosial dan saya tidak tahu siapa yang menularkannya.

“Pada awalnya ia dilihat sebagai gurauan, tetapi lama kelamaan menjadi bahan kecaman segelintir netizen,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost malam ini.

Mohd Rizal berkata, warganet yang tidak mengetahui perkara sebenar dilihat membuat pelbagai andaian sendiri termasuk menyalahkan guru kelas yang didakwa mengambil gambar berkenan sebelum dikongsi dalam WhatsApp yang kemudian disebar ibu bapa lain sebagai bahan lawak.

“Sebenarnya bukan begitu, saya yang ambil gambar itu, dan saya juga tidak salahkan yang buat andaian itu kerana mereka tidak tahu.

“Namun apa yang tidak baik apabila ia menjadi punca pergaduhan antara netizen,” katanya.

Bagaimanapun beliau berpendapat aksi anaknya itu turut tular sebagai perkara positif apabila kini ramai yang ikut langkah kami untuk membekalkan makanan kepada anak-anak dari rumah.

Menurutnya, bersama tiga anaknya di sekolah itu akan terus membawa bekal makanan menggunakan mangkuk tingkat.

“Kepada yang mengecam.. kami sekeluarga maafkan anda semua.. kerana anda mungkin tak tahu di sebalik cerita yang sebenar dan pada yang positif dan memberi kata-kata semangat.. anda semua amatlah hebat,” katanya.