loading...

Warga emas mati sakit jantung selepas diserang anjing


SEPANG – Seorang tukang cuci warga emas meninggal dunia akibat serangan jantung dipercayai selepas diserang anjing liar dalam kejadian di Kampung Baru Dengkil dekat sini awal pagi tadi.

.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang , Superintendan Md. Noor Aehwan berkata, mayat wanita berketurunan India itu ditemukan seorang lelaki kira-kira pukul 7.07 pagi di simpang empat jalan masuk Kampung Baru Dengkil dan Taman Baiduri Dengkil dalam keadaan terbaring.
.
Katanya, berdasarkan keterangan saksi, semasa kejadian dia terdengar bunyi salakan anjing yang kuat dan melihat mangsa sedang berjalan perlahan-lahan menghala ke Taman Baiduri Dengkil sebelum jatuh pengsan.
.
“Tidak lama kemudian saksi tidak melihat mangsa berjalan lagi dan telah terbaring di tepi jalan Kampung Baru Dengkil.
.
“Saksi kemudiannya terus menghubungi pihak ambulans, namun petugas kesihatan Klinik Kesihatan Dengkil mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
.
Md. Noor berkata, tiada sebarang unsur jenayah ditemui pada badan si mati dan lokasi kejadian tidak mempunyai televisyen litar tertutup.
.
“Mayat kemudian dibawa ke bahagian forensik Hospital Putrajaya untuk bedah siasat sebelum hasil laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat serangan jantung,” katanya.