loading...

Terengganu benarkan lapan masjid adakan solat Jumaat.





KUALA TERENGGANU: Masjid Abidin di sini, menjadi antara lapan masjid di negeri ini, dibenarkan mengadakan solat Jumaat dengan jemaah tidak lebih 40 orang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad, berkata Masjid Sultan Ahmad, Chukai pula dibenarkan untuk solat Jumaat bagi Kemaman.

Beliau berkata, Masjid Tengku Ampuan Intan pula dibenarkan untuk mengadakan solat Jumaat di Dungun; Masjid Sultanah Nur Zahirah (Marang) dan Masjid Sultan Mahmud (Hulu Terengganu).

"Masjid dibenarkan mengadakan solat Jumaat bagi Kuala Nerus ialah Masjid Wakaf Tembusu; Masjid Bandar Permaisuri (Setiu) dan Masjid Sultan Nasaruddin Shah (Besut)," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Jumaat lalu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin perkenan untuk masjid di Terengganu dibuka bagi aktiviti solat Jumaat sepanjang tempoh PKPB.

Mat Azmi berkata, bilangan ahli jemaah dibenarkan untuk melaksanakan solat Jumaat tidak melebihi 40 orang.

Beliau berkata, pegawai agama daerah bertanggungjawab memastikan setiap jemaah perlu menjalani pemeriksaan suhu badan, sanitasi tangan dan merekodkan kehadiran jemaah dalam buku kehadiran.